Jun 30, 2009

Tunggu Si Dia Bangun

Dah tiga hari Cinta aku mula bekerja(ikut waktu Malaysia).Dan dia selalu cakap yang dia selalu rindu zaman remaja dia.Dia sangat rindu sewaktu dia menjadi student semua;bebas dari tanggungjawab pendek kata.Tak payah nak fikir bayar duit kereta,tak payah nak fikir nak bayar loan pelajaran(walaupun lambat laun kena bayar juga tapi siapa pun yang akan kenakan tindakan kepada pelajar yang sedang menuntut?).

Eleh ingat dia sorang saja?Aku pun sama.Nasib baik lah aku sekarang masih menuntut tapi lambat-laun aku pun kena keluar ke dunia luar dan rasa segalanya.Segala tanggungjawab,sepak terajang dan kena mengorat;semuanya sudah tersedia untuk dunia masa depan aku.

Umur pun dah semakin meningkat.Dulu aku congak dalam kepala,masih 16 tahun tapi lama-lama ia berubah menjadi 18 tahun.Banyak bezanya.Aku pun kena rancang baik punya perjalanan hidup aku.Mana nak kumpul duit beli Gen 2,mana nak kumpul duit beli cincin tunang lagi(ahaks).Semuanya kena rancang ikut plan terbaik.

Buat masa ni,aku masih mencuba untuk berjaya dalam hidup.Sudah menjadi adat,yang berjaya akan di atas dan memerintah.

Oh no!

Jun 23, 2009

Matahari Matahari

Umur aku sekarang dah cecah lapan belas.Dah tua rasanya.Untuk kehidupan sepanjang ini aku dah capai segalanya.Tapi aku tak pernah anggap semua apa yang aku capai sebagai kejayaan,tak pernah aku rasa sebarang kejayaan total.Aku tak pernah menang trofi pertandingan catur,aku tak pernah menang kejuaraan Grand Slam.Tapi aku berani cakap yang segala pengalaman yang aku kutip dari hidup aku gunakan sebagai pengajaran.Mana satu baik,aku akan simpan elok-elok di dalam kotak memori,yang buruk pula aku akan kutip dan cuba untuk tidak mengulanginya lagi.

Aku tak pernah sempurna.Ada perkara tu aku akan buat sengaja atau tidak dan menyakitkan hati kau.Ramai yang sakit hati dengan aku,aku tau.Walaupun kau tak boleh buat apa-apa tentang ni,aku harap kau semua lupakan saja kejahatan yang aku pernah buat pada kau semua.Aku minta maaf pada kau semua.Mungkin kau semua anggap segala kebahagiaan yang aku ada sekarang ni adalah hasil usaha aku dengan berbuat jahat pada kau semua.Maafkan aku.

Sekarang aku bahagia.Aku ada keluarga aku,aku ada Cinta aku dan kawan-kawan baik yang tak habis-habis memberi cahaya pada aku.Aku mungkin kaget dalam membalas kembali apa yang dia semua bagi pada aku.Tapi manusia ada masa-masa bodoh dia.Jadi aku harap kau semua tak usah lah berkecil hati pada aku.Aku dah tak jahat macam dulu.Sekarang aku cuma fikir nak menjadi tua bersama kau semua saja.Dan kau juga Cinta.Maafkan aku kalau aku dah buat kau marah sama aku.Kau saja yang aku nak.

Jun 22, 2009

Apa Aku Makan?

'Eh apa kau makan kat sana selalu-selalu eh?Babi-babi ada tak?Nampak gemuk macam babi lah kau sekarang ni'

Seorang kawan aku yang naif tahap nak kena pijak tanya aku lama dulu.Aku pasti kau semua pun nak tau apa diet seharian aku kan?

Sebenarnya aku paling minimal dalam bab-bab makan ni.Satu hari,boleh di katakan tak sampai 2 kali pun aku makan.Sarapan dan makan tengah hari.Makan malam aku jarang ambil,agak-agak madam besar dah bising baru aku akan terhegeh-hegeh teringat nak makan.Tapi makanan halal adalah bukan masalah di sini kerana Middlesbrough ni merupakan pekan yang agak tinggi kehadiran imigran dari Pakistan dan negara-negara Arab.

Jadi setakat nak makan nasi beriyani tu aku masih boleh petik jari lagi.Tapi kalau nasi beriyani gam tu,sampai esok petik pun belum tentu dapat lagi lah kan.Kalau nak beriyani gam,paling afdal kau pergi kat TTDI.Aku kan jauh,mana boleh pergi,jadi nanti balik aku nak kau semua pakat-pakat belanja aku sepinggan dua.Layan weh nasi beriyani gam.

Lagi satu makanan kegemaran aku sementara di sini ialah Fish and Chips.Mitos mengatakan fillet-fillet yang di gunakan untuk hidangan ini ialah ikan Haddock.Tadi aku dah google,muka dia iras-iras ikan Tongsan tapi mana ada ikan Tongsan tinggal dalam laut.Jadi kau panggil saja lah dia ikan Haddock.Semua nak translate,kau ingat aku tak ada kerja?Fish and Chips di sini biasanya akan di goreng kuning dan akan di hidangkan dengan cuka,garam dan sos tomato.

Kemudian di sini juga aku boleh nak dapat ayam tandoori.Ayam-ayam tandoori di sini saiznya lebih besar dari Malaysia.Kalau kat Malaysia tu,lagi kecil ayam tu maka akan lebih mahal lah dia.Tapi di sini,ia akan jadi lebih mahal sebab tukaran asing Malaysia kan lagi rendah dari Pound.Tak kelakar langsung pula.Lantak lah.Tapi aku jarang makan tandoori,di sini atau di Malaysia;sebabnya aku tak boleh makan rempah banyak sangat.Nanti aku panas badan.Bujang-bujang ni panas badan tak baik sangat.

Tapi secara totalnya,kebanyakkan makanan aku terdiri dari makanan orang Pakistan.Dan paling menyedihkan,KFC yang halal hanya terdapat di London.McDonald's memang harapan lah,tak ada langsung outlet yang menyediakan hidangan halal.Bagus lah agaknya untuk aku,sekurang-kurangnya aku tak menyokong ekonomi jahat zionis.Angkat tiga ibu jari untuk aku.

Best.

Jun 14, 2009

Hey Hey Let's Go!

Keadaan musim panas di England agak berlainan dengan keadaan di Malaysia(duh!).Siang malam di sini boleh di katakan sangat pelik.Malamnya akan menjadi sangat pendek,manakala siangnya adalah sangat panjang.Bayangkan matahari hanya akan tenggelam pada pukul 9 malam dan ke atas.Mungkin kerana ini juga lah aku menjadi sangat gemuk di sini.Dalam kepala aku,makan malam hanya boleh di makan bila ia sudah gelap.Dan untuk makan sesuatu hidangan berat pada pukul 10 malam,hanya lah menyebabkan lemak berkumpul dan menampakkan diri kau gemuk.

Cuaca di sini yang nyaman dan kadang-kadang sejuk tu juga kadang-kadang buat aku malas sekali nak berjogging di waktu pagi.Kebanyakkan masa pagi aku di habiskan di atas katil menunggu cuaca menjadi panas dan sesuai.Tapi setiap kali cuaca begitu sampai,kedai Fish and Chips seberang jalan dah mula menjalankan operasi.Jadi,dari berjogging,baik layan Fish and Chips.Sedap juga kalau dapat makan panas-panas.

Kadang-kadang tu,aku hanya boleh merancang.Tapi displin yang lemah buat aku tewas berturut-turut.Nasib Cinta aku tak begitu memandang rupa paras aku.Tapi seboleh-bolehnya nak juga aku nampak hot.Kot-kot dia juga yang bangga kalau agak-agak ada orang tanya;'Boyfriend sapa lah ni handsome sangat?'

Esok nak kena jogging lah!

Tak Semua Benda Selamanya

Hari ni mak aku balik ke Kedah.Satu perjalanan yang tak di rancang;mengejut.Wa Mad aku dalam keadaan yang nazak.Dalam bahasa Kedah,Wa bermaksud yang paling tua dan boleh lah dianggap sebagai pangkat Pak Long.Oh aku ada memori indah banyak sangat tentang dia dan aku sangat sedih.

Ok bye.

Jun 12, 2009

Dia Tengah Marah

Cuti musim panas merupakan cuti yang di tunggu-tunggu oleh semua orang yang berada di negara yang beriklim 4 musim.Waktu ni di mana cuaca menjadi panas mengikut kulit mereka dan secara amnya,segala sektor yang berkaitan dengan perkhidmatan dan pelajaran akan bercuti.Aku pun turut terlibat juga.Aku ingin balik ke Malaysia tapi aku di nasihatkan untuk tunggu dan menikmati segala panorama yang ada di England.Mana aku nak pergi?Aku tau England besar dan macam banyak nak pakai duit.Buat masa ni,aku ingat nak pelan-pelan jelajah Northeast region.

Kawan-kawan aku sudah ada pun yang balik ke Malaysia bercuti.Aku tengok bukan main melompat terkinja-kinja nak balik.Cis tak tahu ke aku pun cemburu?Aku pun ada mak abah dan Cinta juga di Malaysia.Kalau diikutkan berani,mau saja aku masuk dalam baggage Amin kat bawah ruang tamu tu.Buang semua baju dan masuk.Nasib aku tak berani.

Kemungkinan besar aku akan menghabiskan cuti musim panas aku ke Manchester atau Liverpool.Di situ merupakan tempat yang melahirkan muzik yang selalu berkumandangan dalam lappy aku.Silap-silap haribulan,aku boleh makan fish and chips dengan Steven Gerrard dekat Liverpool.Si Hasnol pula asyik mengajak untuk ke Sepanyol tapi aku kalau boleh alang-alang merantau sampai keluar eropah ingin sekali nak pergi Disneyland Paris,sambil-sambil bercuti situ boleh survey tempat bulan madu dengan Cik Epifah nanti;menyelam sambil minum air orang cakap.

Semua ni masih lagi impian aku.Masa aku ada 3 bulan saja.Terhad untuk pergi mana-mana.Tapi percaya lah yang aku akan berusaha untuk menggembara melihat tempat orang.Entah bila lagi aku nak datang ke sini.

Pelangi

Waktu aku sekolah menengah dulu,aku seorang pengawas yang sangat garang orangnya.Walaupun sedikit garang,tapi aku tak pernah mengabaikan aktiviti ponteng kelas.Tambah-tambah lagi kalau hari tu ada tuisyen kat Pusat Tuisyen Martin.Selalu-selalu kelas tuisyen akan bermula pada pukul 3 petang tapi aku memerlukan sekurang-kurangnya 2 jam persediaan untuk bermain di Cyber Cafe dan layan mesin kuda sekurang-kurangnya 13 kali larian.Jadi aku akan perlahan-lahan menyamar sebagai pelajar sesi petang.Cara paling mudah ialah dengan mencabut tanda sesi dan berlagak cool.

Selalunya aku akan bermain mesin kuda untuk mencari modal tambang bas ke Pudu.Waktu tu kalau tak salah,bas Intrakota cas kami lapan puluh sen.Agak-agak menang RM 2 pun dah cukup dah.Boleh buat main counterstrike setengah jam,beli roti 40 sen sebungkus dan tambang bas.Kadang-kadang tu tak bayar pun,naik bas terus tidur.Duit bulan-bulan mak ayah kasi,boleh simpan buat pergi gig atau beli kaset punk.

Hari tu aku dengan Azman.Ingat lagi,seminggu sebelum tu aku kena tinggal dengan girlfriend paling garang pernah aku jumpa.Nasib la dia tinggalkan aku.Kalau dia pukul aku dengan kayu besbol?Mana nak cekau duit buat pembedahan plastik.Jadi untuk menggembirakan hati aku yang lara,Azman mengajak aku untuk pergi ke Bukit Bintang.Tak payah masuk kelas dia kata,aku pun mengangguk tanda setuju.Ponteng-ponteng ni aku tak pernah protes.Protes tanda lemah.

Jadi sampai lah kami dua dekat Sungei Wang.Waktu tu tempat tu up sikit.Ada kedai cd tu dia jual vcd Linkin Park live in Texas yang kami tak pernah mampu nak beli.Budak-budak sekolah kerajaan macam kami mana mampu nak pegang duit RM 34.90 pergi jalan-jalan kat Sungai Wang.Dapat beli nasi ayam kat foodcourt tingkat 4 tu pun sudah kira berkemampuan.Tapi sekering mana pun poket aku,aku tetap menyimpan perasaan untuk membeli Adidas Superstar.Baru nampak macam Fat Mike.

Tengah aku membelek kasut kat Al-Ikhsan kat BB Plaza,tiba-tiba datang seorang pakcik ni.Dia minta tisu dari Azman.Dia ni nampak macam baru balik kerja,dengan tali leher dan baju kemeja tuck in.Tak pun dia tengah ponteng kerja,sebab waktu tu baru pukul 3.30 petang.Azman cakap dia tak ada tisu.Pakcik tu kemudiannya menjadi sangat mesra pula,dia suruh panggil dia Uncle Is.Cis nak nama mat saleh je.Dia ajak kami untuk temankan dia kat Mc Donald's Sungei Wang.

Kami yang tengah lapar ni pun apa lagi.Orang mengantuk disorongkan bantal.Kurang-kurang dapat simpan duit belasah addbot esok.Lepas tu Uncle Is mula buka cerita.Dari rumah dia sampai lah ke anak cucu dia.Tapi dia nampak berkenan sangat dengan Azman.Asyik bercakap dan ketawa bersama Azman.Dia yang selama ni banyak bercakap tiba-tiba bertanyakan nama kami.

'Adik dua ni nama siapa eh?' dia tanya.

Aku pandang Azman.Dia pun pandang aku.Tak baik bagi maklumat peribadi dekat orang yang baru kita kenal.Tambah-tambah lagi orang tu muka macam sindiket menjual kanak-kanak.

'Aladdin' jawab Azman selamba.Aku tengok dia sambil nak tergelak.Aku pun fikir nak petik nama Nazir sebelum aku tersedar yang aku masih ada nametag kat dada.Jadi selamba saja Uncle Is tu kenal aku.Uncle Is dah mula menunjukkan taring sebenar.Dia ajak kami untuk datang semula ke sini hari sabtu ni.Dia cakap dia nak belanja kami dua karaoke.Aku dah mula berkerut,lain macam saja ini brader.Dia mula minta nombor telefon Azman.

Lagi sekali Azman buat sial.Dia petik nombor telefon rumah Gembo.Uncle Is salin dan simpan dalam beg dia.Nampak sangat dia suka kat Azman kan?Sebab dia tak minta pun nombor telefon aku.Waktu tu aku dah start pakai handphone tau.Baru nak berlagak tunjuk 3310 baru aku,tapi tak jadi.Selepas lama kat situ,kami masing-masing minta diri.Nanti balik lambat kena syak bukan-bukan pula.

'Kau tengok apa macam bok?' Azman tanya aku.

'Aku pun pelik dengan dia,tiba-tiba je ajak pergi karaoke.Mau dia jual bontot kita waktu tu habis la aku,kahwin pun tak lagi' aku jawab.

'Pastu agak-agak kalau dia telefon rumah Gembo,Gembo angkat bagi salam tak?'aku tanya balik.

Kau semua jangan main-main.Gembo tu ketua pengawas surau sekolah tu.Tiap-tiap pagi sebelum masuk kelas,dia yang baca doa kat perhimpunan tau.

Jun 11, 2009

Awan Biru Buat Aku Gila

Musim panas di Middlesborough bukan lah seperti di rancangkan.Iklim di sini bertukar-tukar ikut suka hati.Kau tak akan rasa panas selamanya dan kau tak akan rasa sejuk untuk masa yang panjang.Bagi menambahkan garam pada luka,ia akan hujan dan angin yang datang bersama hujan akan membawa hawa yang sejuk.Bukan rancangan yang baik untuk kau menjemur kain.Macam aku,sudah masuk tiga hari pakaian aku di ampaian.Esok nak pergi kenduri,apa cerita sekarang ni pergi kenduri doa selamat pakai baju tengkorak?

Ketika aku di Malaysia tak lama dulu,aku pernah menghadiri penerangan ringkas tentang cara hidup di England.Aku di janjikan yang kami takkan di curahkan hujan yang banyak kerana menurut Mr. Norman Paddington,Middleborough atau Teeside berada di Northeast region yang mana kurang mengalami sebarang musim hujan atau lebih di namakan dry area.

Tapi jangkaan aku adalah meleset sama sekali.Hanya penerangan dia tentang cara hidup malam mat saleh di sini saja yang boleh pakai.Mr Norman Paddington tu mana pergi aku pun tak tau.Kalau aku nampak kereta Rolls Royce dia,mesti aku siku side mirror.Sebenarnya cara hidup malam mat saleh sini nampak meriah sekali;kalau di sini disko yang paling hips nama dia The Crown.Setiap kali lalu depan The Crown,mesti aku teringin sangat nak masuk.Tapi wajah comel mak abah dengan Cinta mesti akan muncul dalam kepala.Tu yang buat kadang-kadang aku tarik nafas panjang juga tu nak jengah masuk kepala.

Tapi sekarang ni,disko tak disko.Aku kena cari cara macam mana nak keringkan baju.Kena pakai baju terbaik untuk kenduri doa selamat kat Ayersome Street esok.Mana tau kot-kot ada peraduan King and Queen.Silap haribulan boleh bawa balik hamper Danone.

Masalah Lama Dengan Twist Terbaru

Aku tengah mengalami masalah terbesar dalam sejarah hidup aku;badan aku semakin membesar.Ya aku tau ni masalah lama tapi kali ni ia betul-betul menganggu kehidupan aku.Bila berdiri depan cermin,apa yang aku lihat ialah sepasang tangan sebesar bata,paha sebesar kampit baja,pipi setembam selasih dan gabungan huruf seperti 38 dan F.

Sudah tak handsome macam Tim Armstrong.

Bukan lah aku tak mahu in shape kembali atau apa-apa tapi keadaan sejuk di sini memaksa aku untuk terus makan dan makan untuk mengekalkan suhu panas optimum badan aku.

Cantik kan alasan aku?

Kukuh sungguh.Flawless tahap bukan-bukan.

Tapi aku merasakan aku juga harus menjaga kesihatan aku.Cita-cita untuk memakai skinny jeans sebelum kahwin pun nampaknya masih dalam samar-samar.Takkan lah aku nak cita-cita untuk merasakan bagai mana bebola kacang aku di dakap dengan kain denim hitam tu terhapus begitu saja.Jadi aku kena teruskan usaha untuk melawan lemak di badan.Teruskan berlawan dengan titisan peluh terakhir. Kau semua doakan saja lah kejayaan aku.

Stop your messing around,

Better think of your future.

Time you straighten right out,

Creating problems in town.



A message to you,rudai!

Jun 5, 2009

Tarik Gigi

Hari ni dah menjadi rasmi aku tengah bercuti.Aku dah hantar assignment terakhir Dr. Alan Bell.Periksa pun dah dua hari lepas.Lama juga cuti aku kali ni;mau makan tiga bulan juga lah jangka masa dia.Tapi nasib baik sekarang ni England tengah musim panas,jadi tak la sejuk sangat kalau aku nak main badminton secara beregu depan rumah aku tu.Mana tau,silap haribulan boleh lawan dalam All England untuk pasukan Middlesborough.

Walaupun sekarang ni musim panas,tapi tidak lah mencapai jangkaan anda semua.Ya memang ia akan panas sehingga 32 darjah celcius seperti Malaysia,tapi cuaca begitu tak akan lama.Ada masa tu, ia akan hujan dan suhu akan terus menurun sejuk tahap kebas tangan.Agak-agak kalau jemur kain tu,minggu depan pun belum confirm kering.Kak long-kak long pun jarang keluar rumah time hujan-hujan macam ni.

Sebenarnya aku dah rancang baik punya untuk cuti aku kali ni.Aku dah membuat stok buku-buku untuk kegunaan tiga bulan dan aku mungkin akan menggunakan masa tiga bulan ni cuba menghabiskan dissertation aku secepat mungkin.

Pathetic kan?

Memang pun.

Tapi ni semua jangkaan kasar saja.Mungkin ada tawaran yang menarik menanti aku di kemudian hari.Macam esok pun aku dah mula mendapat tawaran yang bukan-bukan.Esok aku nak jadi urusetia penunggu check point perlumbaan basikal kat Durham.

Tengok.

Siapa cakap cuti-cuti aku tak bersukan?